logo penang 2030

A A  Arial | PT Sans | Century
faq hubungi maklumbalas peta

sukpenang ms 2022

 

 

TEKS UCAPTAMA

TYT TUN DATO' SERI UTAMA AHMAD FUZI BIN HAJI ABDUL RAZAK

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

 SEMPENA PROGRAM BICARA EKSEKUTIF BERSAMA

YANG BERBAHAGIA TAN SRI ABDUL HALIM BIN ALI,

MANTAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA (1996 – 2001)

                                                                 PADA 24 FEBRUARI 2022 (KHAMIS) JAM 12:30 TENGAH HARI                                                                    

DI PINANG BALLROOM, JEN HOTEL

 

Bismillahirrahmanirrahim

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YBhg Tan Sri Abdul Halim bin Ali

Mantan Ketua Setiausaha Negara (1996-2001)

Tetamu Khas pada hari ini

 

YB Dato’ Dr. Mohamad Farazi bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri

YBhg Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan

 Pegawai-Pegawai Tadbir & Diplomatik

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1.      Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya, dalam suasana pandemik Covid-19 ini, kita dapat berkumpul dengan SOP yang ketat bagi Majlis Ilmu PTD pada hari ini.

2.      Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Abdul Halim bin Ali, Mantan Ketua Setiausaha Negara Tahun 1996 hingga 2001 dan kini, Presiden Alumni PTD, atas kesudian beliau hadir pada hari ini untuk Bicara Eksekutif bertajuk ‘Peranan dan Cabaran Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Masa Kini’.

3.      Sekalung penghargaan juga diucapkan buat YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Setiausaha Kerajaan Negeri dan penganjur Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menjemput saya hadir serta  memberi sedikit ucapan pada program hari ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4.      Sebagaimana kita sedia maklum, Perkhidmatan Awam pada amnya adalah asas kapada masyarakat yang adil dan bertamadun. Peranan Perkhidmatan Awam amat luas sekali serta merangkumi berbagai-bagai bidang - dari menyediakan peluang, menjamin keselamatan, melindungi mereka yang terdedah bahaya hingga ke meningkatkan kualiti hidup rakyat seharian.

5.      Perkhidmatan Awam juga adalah penting untuk pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara - menyatu dan mengukuhkan masyarakat di peringkat nasional dan negeri. Sememangnya Perkhidmatan Awam merupakan satu tonggak utama negara kita. 

            Bila kalam sudah dijunjung,

           Tenaga perasaan segera mencipta,

           Penjawat awam jadi penghubung,

           Antara kerajaan dan rakyat jelata.

6.       Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada asalnya dikenali sebagai ‘Malayan Civil Service’ (MCS) bermula seawal tahun 1896 dengan penubuhan ‘Straits Settlement’ dan ‘Federated Malay States Civil Service’ dengan penyerapan pegawai-pegawai Melayu bermula sekitar tahun 1929.  Ia seterusnya digantikan dengan ‘Malaysian Home and Foreign Service’ dan akhirnya menjadi Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1971. Walau apa pun nama yang digunapakai, peranan pegawai PTD masih lagi sama.

7.      Selaras dengan tajuk Bicara Eksekutif ini, sesungguhnya peranan dan tanggungjawab pegawai-pegawai PTD sebagai pentadbir dalam Perkhidmatan Awam dalam apa bidang dan jawatan, adalah amat mencabar. PTD juga berperanan sebagai ‘game changer’,‘agent of change’, pakar transformasi dan pelbagai lagi.

8.   Bagi maksud pembangunan di Negeri Pulau Pinang, semua pegawai PTD perlu memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan  Visi Penang 2030 dijayakan, walaupun diuji dengan dengan Pandemik Covid-19.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

9.    Hasil pemerhatian Pegawai Kanan yang berpengalaman luas dan dihormati dalam pentadbiran negeri ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki di kalangan penjawat awam, khususnya pegawai-pegawai PTD di negeri ini termasuk;

(a)     Sikap ‘complacent’ dan tidak ‘proactive’;

(b)     Ketua Jabatan ‘not taking charge’ dan hanya bergantung kepada pegawai bawahan;

(c)     Kurang penguasaan Bahasa Inggeris;

(d)     Kurang pemahaman isu-isu penugasan termasuk ‘lack of analytical thinking’, ‘maturity of thought atau global perspective’ dalam membuat sebarang syor atau keputusan yang diperlukan

 (e)     Kemerosotan kualiti kepimpinan;

 (f)      Isu-isu disiplin yang melibatkan ‘efficiency’ dan prestasi tugas;

(g)     Kecenderungan mengamal sikap ‘low profile’ yang menjejaskan peranan serta sumbangan tugas yang diperlukan;

(h)     Kesan negatif sampingan akibat pemberian kemudahan ‘Work From Home’;

(i)      Kelambatan, kelewatan dan ‘red tape’ dalam membuat keputusan dan;

(j)      Kelewatan pelaksanaan tindakan akibat kegagalan dan kelemahan menentukan keutamaan.

10.    Adalah merugikan jika kelemahan-kelemahan di atas tidak dibendung dan dibiarkan berterusan sehingga menjejas imej, maruah, budaya kerja dan urus tadbir pegawai tertinggi yang menerajui penjawat awam di negeri ini. Saya percaya kesedaran dan juga kesediaan untuk muhasabah diri sendiri di atas kelemahan-kelemahan ini merupakan langkah utama penting ke arah pembaikan seperti diharapkan.Seperti mana kata Ahli Falsafah dan Penyair terkenal, Jalal Al-Din Muhammad Rumi  ‘Yesterday I was clever, so I wanted to change the world.  Today I am wise, so I am changing myself.’

11.    Mungkin perkara-perkara ini telah disentuh sedikit sebanyak oleh YBhg Tan Sri Abdul Halim bin Ali dalam sesi pagi ini. Dan saya percaya pada hadirin sekalian telah  dapat mengambil iktibar dan semangat dari perkongsian beliau untuk di aplikasikan sewajarnya.

12.    YBhg Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini, telah menekankan perlunya penjawat awam menjadi seorang Pemimpin SWIFT (Speed, World Class, Inspirational, Flexible & Tech Based) yang berkesan semasa dalam krisis dan seterusnya ketika menjalankan tugas harian. Saya harap aspek-aspek ini bukan hanya setakat seruan semata-mata, tetapi dapat diterapkan sebagai amalan wajib tiap-tiap penjawat awam di negeri ini.

Pada hadirin sekalian,

13.    Malaysia telah mencatatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sebanyak 48 dengan kedudukan ke-62 dari 180 negara bagi tahun 2021. Kedudukan ini merosot berbanding tahun 2020, dengan skor sebanyak 41, dan kedudukan ke-57.

14.    Isu integriti dan tadbir urus penjawat awam termasuk di  Agensi Penguatkuasaan hangat diperkatakan. Ianya telah mendapat liputan meluas dalam dan luar negara. Nama baik negara tercemar sehingga memalukan semua pihak. Rakyat biasa sekarang kurang mempercayai dan menghormati penjawat awam seperti dahulu. Persepsi bahawa Perkhidmatan Awam masih beretika dan amanah tidak lagi sinonim dengan aspirasi negara.  Ketirisan dan kepincangan yang kian berlaku tidak dapat lagi dikaburi.

15.    Oleh yang demikian, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Perkhidmatan Awam, adalah perlu usaha-usaha mengukuhkan integriti dan tadbir urus dilipatgandakan dengan melaksanakan inisiatif  Anti Rasuah di Jabatan masing-masing. Campur tangan dan langkah membendung penularan budaya ini perlu dilaksanakan dengan cepat demi menjaga imej Perkhidmatan Awam itu sendiri, dan PTD khususnya.

16.  Dalam hal ini saya menyanjung kesungguhan YBhg Tan Sri Abdul Halim bin Ali, sebagai Presiden Persatuan Alumni PTD untuk bersama-sama dengan kepimpinan Perkhidmatan Awam dalam usaha pengukuhan integriti penjawat awam serta membendung gejala rasuah.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

17.    Pandemik Covid-19 telah mendedahkan batasan sedia ada dalam sistem pentadbiran negara - dari segi kesediaan menangani krisis kesihatan sebesar ini dan kesan sosio-ekonomi yang melanda serta kelemahan sistem sosial sedia ada. Penganalisaan sepenuhnya impak pandemik ini masih belum diperolehi bagi membantu penggubalan strategi negara ke arah pemulihan ekonomi yang komprehensif yang diperlukan. Oleh yang demikian, adalah penting bagi Perkhidmatan Awam, khususnya para pegawai PTD, mengambil kira keluhan dan pemerhatian rakyat dan memastikan sebarang dasar yang digubal, keputusan yang diambil serta prestasi perkhidmatan yang diberikan mampu menetapi kehendak rakyat sepenuhnya.

18.    Justeru, saya menyeru agar semua penjawat awam negeri ini dapat sama-sama menjadi pegawai contoh dan terbaik agar perkhidmatan ini dihormati dan disegani semula sepertimana ia pernah diperkatakan pada satu masa dahulu. 

19.    Peranan serta tanggungjawab yang berintegriti dan professional perlu sentiasa disemat di jiwa setiap penjawat awam. Ini kerana setiap langkah yang diambil memberi kesan kapada perkhidmatan, jabatan, masyarakat dan negara. Pendeknya, ‘Perkhidmatan Kita, Tanggungjawab Kita’.

20.    Akhir kata, saya berharap agar program-program sebegini, yang mengetengahkan pemimpin-pemimpin Perkhidmatan Awam terbaik dan terbilang, dapat dilaksanakan dan diteruskan di masa hadapan.

21.    Saya menyeru agar semua penjawat awam di Pulau Pinang berganding bahu agar semangat ‘esprit de corps’ yang sering dikatakan dikalangan PTD dapat dikekalkan walaupun telah bersara. Harapan saya juga semoga silaturahim yang dibina dalam rangkaian ‘networking’ penjawat awam PTD semasa program sebegini akan terus kekal demi kebaikan bersama.

22.    Sebelum mengundur diri terimalah tiga rangkap pantun dari saya;

          Jika tertinggal busur panah,

          Jangan disangka bukan pesilat,

          Jika tuan dikurnia amanah,

          Jangan dijarah jagalah mandat.

          Dua teruna menjaga kera,

          Duduk bersimpuh di tepian,

          Resam kita menjaga negara,

          Rakyat dahulu yang lain kemudian.

          Menyeberang titi memikul rotan,

          Lalu menghala ke pohon jati,

          Bila integriti asas perkhidmatan,

          Rakyat terbela negara dihormati.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Recommended Post

Paras 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel : +604-2621957 
Complaints Line : +604-2642020
Fax : +604-2634940
Email : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my  

Paras 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel : +604-2621957 
Complaints Line : +604-2642020
Fax : +604-2634940
Email : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my  

Monthly Hits: 1618631

  • Last Updated: 01 December 2022.

Copyright © 2022 Kerajaan Negeri Pulau Pinang